Oleh Ridzuan Yop

2011/07/08

Tak kemuka memorandum ketika pertemuan dengan Seri Paduka

APA lagi yang dimahukan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) selaku penganjur perhimpunan haram yang akan diadakan di ibu negara, esok. Kumpulan ini sudah diberikan kesempatan untuk bertemu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi mereka dengan angkuh menolaknya. Sedangkan, agenda utama mereka kononnya untuk memastikan SPR telus dan mengelak penipuan yang mereka dakwa berlaku dalam pilihan raya dikendalikan SPR.

Malah, mereka juga dibenarkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara, Selasa lalu. Anehnya mereka tidak pula menyerahkan memorandum bantahan itu sendiri kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pertemuan itu bagi menyelesaikan tuntutan mereka.
Namun, kumpulan pengacau itu masih mahu meneruskan perhimpunan, walaupun akur dengan tekanan pelbagai pihak untuk membatalkan demonstrasi jalanan. Kini mereka mengalih lokasi perhimpunan haram itu di mana-mana stadium, walaupun tidak mempunyai permit atau mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Persoalannya, kenapa mereka mahu meneruskan perhimpunan haram itu, walaupun sudah mendapat kesempatan yang seluas-luasnya untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong dan SPR? Kenapa, mereka tidak mengambil ruang dan kesempatan yang diberikan itu mengemukakan memorandum mengenai ketidakpuasan hati mereka yang terbuku selama ini.

Pemerhati politik berpendapat adalah jelas, pertubuhan haram BERSIH mempunyai niat dan agenda lebih besar daripada hanya berhimpun dan ia dilihat bukan sekadar perhimpunan ‘aman’ tetapi sengaja mencari alasan dan mengambil kesempatan mewujudkan suasana yang boleh mencetuskan huru-hara dalam negara.

Seperti kata sekumpulan Ahli Dewan Negara kelmarin, yang mempersoalkan kegagalan penganjur perhimpunan haram itu mengemukakan memorandum perjuangan mereka ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Senator Datuk Abdul Rahman Bakar, menjelaskan sewajarnya Pengerusi pertubuhan haram BERSIH, Datuk S Ambiga menggunakan peluang itu menerangkan apa yang mereka mahu kepada pihak istana.
“Selepas itu, mereka boleh membatalkan perhimpunan, kerana hajat mereka bertemu baginda (Yang di-Pertuan Agong), sudah tercapai. Persoalannya, kenapa mereka tidak menyerahkan memorandum itu? Kalau sudah disampaikan apa perlunya perhimpunan di stadium lagi,” katanya.

Justeru, di stadium mana sekalipun jika perhimpunan haram itu diadakan mampukah pihak penganjur memastikan ia dapat berlangsung dalam keadaan aman?

Sehingga ini, pertubuhan haram BERSIH belum lagi mendapatkan permit polis bagi menganjurkan perhimpunan itu di mana-mana stadium. Lebih membimbangkan ia ialah sebuah pertubuhan yang belum didaftarkan, jadi siapakah akan bertanggungjawab jika sesuatu berlaku?

Wujud kebimbangan perhimpunan yang didakwa ‘aman’ akan bertukar menjadi ganas. Dapatkah penganjurnya atau Ambiga sendiri mengawal setiap peserta dan memberi jaminan mereka tidak bertindak ganas? Jika emosi peserta perhimpunan ini sudah dibakar dengan ucapan yang berapi-api, pastinya ada antara mereka yang ‘naik semangat’ seterusnya bertindak di luar kawalan.

Jika berlaku keganasan dan huru-hara sehingga menyebabkan kecederaan dan kerosakan, siapakah yang harus bertanggungjawab?

Ambiga sendiri tidak mahu bertanggungjawab jika berlaku sesuatu kejadian tidak diingini sepanjang tempoh perhimpunan itu berlangsung. Ambiga menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku rusuhan ketika berlangsungnya perhimpunan haram BERSIH.

Sebaliknya, Ambiga berpendapat bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan dan perintah awam adalah terletak sepenuhnya kepada pihak polis dan bukannya kepada BERSIH selaku penganjur.

Adalah jelas kenyataan Ambiga itu bukan saja tidak bertanggungjawab malah tidak adil terhadap pihak berkuasa terutama polis. Selepas pihak penganjur menganjurkan perhimpunan haram, mereka pula memaksa polis memastikan keselamatan penunjuk perasaan. Ambiga pula mengenakan pelbagai syarat kepada pihak keselamatan, bagi menjamin perhimpunan haram itu ‘berjalan lancar’.

Sedangkan pihak polis sudah terlebih awal, mahu perhimpunan haram itu dibatalkan. Banyak pihak melihat perhimpunan yang akan diadakan hanya mengundang lebih banyak kemusnahan daripada kebaikan walaupun pihak penganjur mengatakan ia perhimpunan aman.

Petikan Oleh: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Komentar_BERSIHciptaalasancetushuru-hara/Article

eXTReMe Tracker