KUALA LUMPUR 6 Julai – Aliran pergerakan penumpang di lapangan terbang negara ini bagi tempoh 2009 dan 2010 mencecah sehingga 59,066,481 orang dengan 31,059,334 daripadanya ialah penumpang domestik, manakala, 28,007,147 orang lagi penumpang antarabangsa.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan pergerakan penumpang yang tertinggi iaitu 38,087,636 orang diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang mengendalikan 5,223,454 penumpang.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) berada di tempat ketiga dengan menguruskan 4,166,969 penumpang, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pula 3,684,517 penumpang.

“Bagi 2010, pergerakan penumpang keluar masuk ke Malaysia adalah seramai 28,007,147 orang, manakala bagi kargo pula berjumlah 754,918 tan metrik,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar di Dewan Negara hari ini.

Abdul Rahim menambah, bagi meningkatkan jumlah penumpang dan kargo, kementerian telah mengadakan rundingan dengan beberapa negara bagi membolehkan syarikat dalam dan luar negara memperbanyakkan jumlah penerbangan.

“Kementerian juga memberi bayaran insentif untuk setiap penumpang yang masuk ke Malaysia dalam tempoh tertentu di beberapa lapangan terbang utama kepada syarikat penerbangan yang baru ke negara ini atau syarikat penerbangan lama yang mengadakan laluan baru ke mana-mana destinasi.

“Selain itu, syarikat penerbangan baru turut diberi insentif pendapatan percuma untuk tiga tahun pertama serta ruang pejabat percuma selama enam bulan,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd. Najeeb Abdullah, beliau berkata, keberkesanan Sistem Pengurusan Lapangan Terbang Menyeluruh (TAMS) di KLIA telah menarik minat beberapa lapangan terbang antarabangsa di luar negara untuk mendapatkan perkhidmatan itu.

“Setakat ini, kami sudah menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi, India dan Lapangan Terbang Sabiha Gokcen, Istanbul, Turki. Kami juga sedang dalam peringkat rundingan untuk menguruskan lapangan terbang di Maldives,” katanya.

Petikan Oleh: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0707&pub=utusan_malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_03.htm&arc=hive



eXTReMe Tracker