ARKIB : 01/07/2011

Forum jawab isu cetusan pembangkang hari ini

KUALA TERENGGANU 30 Jun - Isu-isu semasa yang dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu demi mengejar kepentingan politik sehingga mengganggu-gugat keharmonian kaum dan masa depan bangsa akan dikupas dalam satu forum khusus di sini, esok.

Orang ramai berpeluang mendengar pendedahan dan penjelasan yang akan dibuat oleh anggota panel yang pernah berada pada kedudukan penting ketika bersama pembangkang dan lingkaran kepimpinan berhubung pelbagai isu.

Forum terbesar anjuran Biro Pengundi Luar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) UMNO Terengganu itu akan dihadiri oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin dan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrisnan.

Pengerusi Biro berkenaan, Datuk Abdul Rahman Bakar memberitahu, turut diundang Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor, Hamizun Khairudin.

Forum Peranan NGO Dalam Menghadapi Isu Semasa dan Membentuk Masa Depan Negara akan diadakan di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini mulai pukul 3 petang.

Menurut Abdul Rahman, hampir 40 NGO telah diundang untuk serta serta dalam program yang terbuka kepada umum ini dan perasmian akan disempurnakan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita menjangkakan hampir 4,000 anggota NGO dan anggota masyarakat umum akan menghadiri forum ini yang cukup penting agar dapat menyedarkan betapa jika isu ini tidak ditangani dengan baik, masyarakat dipengaruhi, ia akan memberi kesan cukup buruk,'' jelas beliau.

Katanya, ahli-ahli panel yang diundang mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang apa yang berlaku berdasarkan rentetan pengalaman mereka yang bersama dalam gerakan politik untuk menumbang kerajaan dan berada dalam kerajaan pembangkang.

"Mengapa mereka meninggalkan parti yang dipertahankan bermati-matian sebelum ini dan mereka ini cukup rapat dengan barisan kepimpinan serta turut bersama dengan badan lain yang menyokong pembangkang.

"Pengalaman mereka yang kini menjadi anggota bebas ini dan apa yang mereka ketahui selama ini boleh diperjelaskan melalui forum ini, di mana banyak pendedahan yang mereka buat cukup mengejutkan," ujarnya.

Beliau menarik perhatian seluruh NGO di negeri ini diundang kerana mereka yang memayungi ramai ahli perlu tahu kedudukan sebenar agar mereka bersama-sama bertanggungjawab menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara.

"Mereka boleh mengetahui di sebalik isu moral pemimpin pembangkang, perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), penggubahan wang haram yang digunakan untuk menentang kerajaan dan hubungan dengan anasir di luar negara," ujarnya.

Petikan Oleh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_05.htm



eXTReMe Tracker