Zubir Sulaiman
Serah-RM2juta












KUALA TERENGGANU - Semua badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini perlu bergerak seiring dan membantu kerajaan dalam menentukan kestabilan politik dan negara demi kepentingan semua pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, semua NGO yang ada di Terengganu perlu memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri termasuk mengemukakan pandangan dan pendapat positif dalam merealisasikan slogan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan negeri.

Justeru, beliau mahu kesemua 165 NGO yang ada di negeri ini supaya mengelakkan daripada terlibat dalam demonstrasi atau perhimpunan haram untuk menentang kerajaan.

“Kita minta NGO di negeri ini bantu kerajaan dalam memberikan pandangan untuk bergerak seiring dengan kerajaan.

“Ia penting bagi menentukan kestabilan masa depan negara. Kita harap mereka ini tidak digunakan untuk kepentingan politik tertentu bagi menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen NGO’s Negeri Terengganu 2012 di Hotel Primula Beach Resort di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Shabery Cheek, Pengerusi Pengundi Luar dan NGO’s Badan Perhubungan Umno Negeri, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Bung Mokhtar Radin.

Pada majlis itu, seramai 2,000 peserta mewakili 165 NGO di negeri ini hadir menyertai konvensyen yang berlangsung sehari anjuran Biro Pengundi Luar dan NGO Badan Perhubungan Umno Terengganu, semalam.

Sementara itu, Ahmad berkata, Kerajaan Negeri tidak mengetepikan peranan NGO malah sentiasa memberi pengiktirafan kepada badan itu yang banyak membantu membangunkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang di negeri ini.

Katanya, peranan NGO penting kerana ia turut menentukan suasana yang stabil dan aman terutama dalam membantu menarik pelaburan asing.

“Kalau imej kita musnah, pelabur pastinya tak akan datang ke tempat kita dan akan merugikan rakyat khususnya orang Melayu.

“Justeru perkara sebegini tak harus berlaku, sebaliknya kita minta supaya NGO tidak digunakan untuk menjatuhkan kerajaan atau menyebabkan negara tak stabil dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dalam ucapannya mengumumkan, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukkan sebanyak RM2 juta kepada NGO di negeri bagi memenuhi keperluan pentadbiran dan pengurusan badan itu.

Petikan: http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/elak-terlibat-demonstrasi-1.18213



eXTReMe Tracker