1Malaysia Pupuk Perpaduan

Posted by rahmanbakar under ,
PADANG MIDIN - Majlis Malam Muhibah 1Malaysia 2009 yang dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Padang Midin dilihat mampu meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara kaum di kawasan berkenaan.

Pengerusi KRT Padang Midin, Lua Beng Tong berkata, majlis berkenaan hasil inisiatif penduduk berbilang kaum di kawasan itu selain sebagai satu usaha menyahut seruan 1Malaysia.

Menurutnya, majlis itu juga sebenarnya gabungan sambutan Pesta Tanglung, Deepavali dan Aidilfitri.

“Kami melihat majlis itu bersesuaian kerana kena dan tepat pada masanya. Kami harap majlis ini dapat meningkatkan persefahaman antara penduduk di sini.

“Selain itu, ia menunjukkan penduduk di sini masih mengamalkan konsep muhibah dan menghormati perbezaan agama serta bangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Majlis dihadiri kira-kira 500 penduduk, termasuk wakil daripada Rejimen 512 Askar Wataniah (AW) Kem Padang Midin, wakil polis dan pemimpin setempat.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar.

Selain jamuan, majlis yang berlangsung di Padang Rekreasi Padang Midin itu turut dimeriahkan dengan acara sukaneka yang dijayakan penduduk.

Sementara itu, Alias ketika ditemui berkata, beliau sudah memanjangkan rayuan penduduk Taman Padang Midin kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memasang lampu limpah di kawasan padang awam taman berkenaan.

Menurutnya, ketiadaan lampu limpah di kawasan berkenaan menyebabkan penduduk bimbang dengan kejadian jenayah yang berlaku seperti jenayah ragut selain bertujuan mengelakkan kejadian maksiat berleluasa.


Petikan oleh Sinar Harian:
http://www.sinarharian.com.my/terengganu/content/story5399479.asp


eXTReMe Tracker