4 pemimpin Umno Terengganu dicadang tak tanding


KUALA TERENGGANU – Seramai empat pemimpin melibatkan Ketua Umno Bahagian Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dicadangkan tidak mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan Umno bahagian, Oktober ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, sudah sampai masanya beri laluan kepada orang lain kerana berpendapat mereka gagal menunjukkan prestasi baik pada pilihan raya umum lalu.

Beliau tidak menolak jika jawatan itu terus dipertahankan dan mereka menang dalam pertandingan itu, keadaan yang lebih parah mungkin berlaku dalam pilihan raya umum akan datang kerana kekalahan itu juga merupakan suara peringkat akar umbi.

“Jangan ‘tebeng’ (beria-ia) sangat, harus sedar diri dan akur kehendak akar umbi. Kalau mereka pertahan dan menang juga, tidak mengapa. Tetapi mereka telah persembah rekod kurang baik dan bila pilihan raya nanti mereka kalah juga, ini akanrugikan parti. Insaflah, sedarlah zaman mereka telah habis,” katanya.

Ketika ini, Datuk Rosli Mat Hassan menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Yahya Khatib (Marang), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Kuala Terengganu) dan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus).

Keempat-empat mereka masing-masing bertanding di kerusi Parlimen Dungun, Parlimen Marang, Dun Ladang dan Parlimen Kuala Nerus kalah kepada parti lawan dalam pilihan raya umum lalu.

Abdul Rahman juga turut menolak kekalahan yang berlaku melibatkan empat kawasan itu mempunyai kaitan dengan gelombang kebangkitan pembangkang, sebaliknya menerima pakai kekalahan berlaku disebabkan faktor calon.

“Kalau mahu kata gelombang, sudah tentu kalah semua. Kekalahan itu banyak faktor, salah satunya calon. Calon yang tidak layak diberi, yang layak tidak diberi. Kalau kata gelombang, ia boleh dilihat sebagaimana Pilihan Raya Umum 1999, empat Dun sahaja BN menang,” katanya.

Abdul Rahman bagaima-napun positif terhadap empat lagi ketua Umno bahagian yang menang dalam pilihan raya umum lalu iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman serta sokong mereka pertahan jawatan.

Abdul Rahman yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Marang menjelaskan, jawatan di peringkat bahagian bukan untuk ‘suka-suka’, sebaliknya beri impak besar memastikan kekuatan parti dan sokongan rakyat kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kalau prestasi hambar atau tiada kemajuan, baik undur secara terhormat dan beri ruang kepada orang lain, sama ada orang lama yang punyai rekod baik atau orang baru yang berkemampuan. Begitu juga di peringkat timbalan dan naib,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut hormati salah seorang ketua Umno bahagian kalah difahamkan akan berundur.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/arkib/4-pemimpin-umno-terengganu-dicadang-tak-tanding-1.188111

eXTReMe Tracker