Mohd (dua, kanan) dan Abdullah (kiri) serta rakan-rakan lain bersyukur kerana menerima bantuan berkenaan dan berharap ia dapat diteruskan pada masa depan.

MARANG - Bantuan sara hidup RM200 seorang yang diberikan kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mampu meringankan beban hidup lebih 5,000 nelayan di Terengganu setiap bulan.

Menurut Pengarah LKIM negeri, Mohd Saffe Mohamad, kerajaan menerusi LKIM telah membelanjakan lebih RM45 juta untuk bayaran elaun sara hidup nelayan di seluruh negeri itu bermula Jun 2008 sehingga Februari ini.

“Peruntukan itu membabitkan nelayan di 10 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negeri termasuk di PNK Marang,” kata selepas berakhir majlis penyampaian bayaran elaun sara hidup kepada 604 nelayan kawasan Marang di sini.

Majlis penyampaian berkenaan disempurnakan Ketua Umno Bahagian Marang juga merupakan Adun Pengkalan Berangan, Datuk Yahya Khatib Mohamad. Hadir sama, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar.

Mohd Saffe berkata, nelayan terbabit bukan sahaja mendapat elaun bulanan bagi meringankan beban, malah turut dilindungi Insurans Takaful Kemalangan Diri Nelayan membabitkan hampir 5,000 orang setakat ini.

“Namun bilangannya tidak tetap kerana faktor kematian dan terdapat pemohon kini dalam proses mendapat kelulusan dari pihak kerajaan. Nelayan mengambil insurans berkenaan hanya dikenakan bayaran RM100 setahun,” katanya.

Beliau berkata, melalui insurans itu, nelayan dapat menikmati pelbagai faedah seperti bayaran kematian akibat kemalangan di laut, kematian akibat kemalangan di darat, keilatan kekal akibat kemalangan dan kematian biasa.

Bersyukur dapat bantuan

Sementara itu, seorang nelayan, Mohd Mohamad Ali, 60, berkata, komitmen kerajaan menyediakan peruntukan besar memberikan elaun sara hidup bulanan kepada mereka jelas membuktikan kerajaan tidak mengabaikan kebajikan nelayan.

Menurutnya, apabila kerajaan berjanji pasti akan ditepati malah, menaikkan elaun sara hidup nelayan termasuk memberikan pelbagai peruntukan lain seperti pembaikan rumah dan subsidi diesel serta pembayaran perlindungan insurans.

“Kami golongan nelayan bersyukur kerana menerima bantuan ini dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang malah rata-rata nelayan bangga kerana menjadi  penerima bantuan ini,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Seorang lagi nelayan, Abdullah Ismail, 65, berkata, sejak memulakan kerjaya sebagai nelayan dalam usia 18 tahun, dia bergantung sepenuhnya dengan hasil tangkapan, namun lega kerana menerima elaun sara hidup kerana usianya sudah semakin lanjut.

“Bantuan seperti ini sangat dinantikan memandangkan pendapatan pak cik bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan. Jika semasa muda mungkin boleh bekerja keras tetapi kini usia sudah meningkat untuk melakukan kerja seperti itu,” katanya.

Bagaimanapun, bapa sembilan anak itu berkata, tidak boleh bekerja keras bukan bermakna berehat sahaja di rumah tetapi dia tetap meneruskan aktiviti menangkap ikan di laut dengan kemampuan yang ada pada usianya sekarang.

Petikan oleh: http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/nelayan-tidak-dipinggirkan-1.133585

eXTReMe Tracker