MARANG – Pemimpin pembangkang perlu memastikan setiap kenyataan yang dibuat adalah berlandaskan fakta dan bukannya mengelirukan rakyat sehingga menjejaskan keamanan dan kemakmuran masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, ini bagi mengelakkan berulangnya kes menimpa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengangkat komunis sebagai hero dalam tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong.

Beliau berkata, kenyataan mengelirukan Mohamad atau Mat Sabu menimbulkan kemarahan banyak pihak dan jelas memperlihatkan keperibadian sebenar pemimpin pembangkang itu.

“Saya tahu orang ramai boleh menilai kenyataannya itu. Bukan orang Melayu sahaja marah, malah kaum Cina dan India pun marah kerana mereka juga dizalimi apabila rumah mereka turut dibakar kerana enggan bekerjasama dengan komunis,” katanya.

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu yang pernah digelar ‘The Giant Killer’ kerana keupayaannya menewaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kerusi Parlimen Marang pada 2004, berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di Kampung Gelugor Kedai, Bukit Payong.

Dalam pada itu, beliau juga menolak dakwaan pembangkang kononnya Barisan Nasional (BN) sengaja memperbesar-besarkan isu Bukit Kepong untuk menutup isu tuntutan pembersihan data dan proses pilihan raya yang mereka kemukakan.

“Rakyat boleh menilai tindakan pembangkang yang gemar menimbulkan kontroversi dan membuat huru hara semata-mata untuk gimik politik mereka termasuk mengadakan perhimpunan haram (Bersih 2.0) yang jelas menyalahi undang-undang,” katanya.

Petikan Oleh Sinar Harian:
http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story9523559.asp


eXTReMe Tracker