Soalan & Pertanyaan & Usul-Usul June

Posted by rahmanbakar under

20 Soalan / Pertanyaan Lisan


Tarikh: 23 Jun 2010


1. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Sains Teknologi dan Inovasi menyatakan apakah pencapaian negara dalam bidang teknologi dan tenaga nuklear terkini serta rancangan masa depannya. Apakah usaha-usaha Kementerian bagi melahirkan lebih ramai saintis dan ahli teknologi dalam bidang nuklear?

2. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Kewangan menyatakan sejauhmana hasil yang diperolehi negara daripada cukai judi bola Piala Dunia yang bermula 11 Jun 2010 sehingga 10 Julai 2010. Apakah rasionalnya kerajaan membenarkan judi bola dibolehkan?

3. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan peranan Malaysia bersama pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam usaha menghasilkan produk halal domestik secara global. Sejauhmanakah produk halal yang dikeluarkan oleh negara dapat memenuhi permintaan negara-negara OIC dan bukan OIC.

4. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah langkah-langkah terkini Kementerian dalam usaha menaiktaraf lebih 30 juta “jalan-jalan maut”, “selekoh maut”, dan “jambatan maut” diseluruh negara.

5. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Pelajaran menjelaskan ura-ura Kementerian untuk memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Apakah rasionalnya UPSR dan PMR nak dihapuskan dan apakah alternatifnya nanti?

6. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Dalam Negeri menjelaskan berapa ramaikah rakyat Malaysia yang dipenjara diluar negara dan dihukum mati. Nyatakan negara-negara berkenaan serta bilangan warganegara Malaysia yang terlibat?

7. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan kedudukan usahawan Bumiputera terkini dalam pelbagai bidang utama iaitu pembuatan, pengeluaran, perkhidmatan, dan pengeksport serta jumlah pelaburan mereka terkini. Apakah rancangan Kementerian dalam membantu Bumiputera diperingkat global dimasa hadapan?

8. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan kadar pertumbuhan perdagangan negara sehingga tahun ini (2010). Nyatakan bersama ramalan statistiknya dan yang manakah menjadi pilihan dan keutamaan pencapaiannya?

9. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Kewangan menyatakan prestasi semua syarikat-syarikat Kerajaan Persekutuan (GLC) yang mendapat keuntungan. Berapakah keuntungan semua syarikat tersebut dan senaraikan syarikat-syarikat yang menduduki tangga 10 ke atas.

10. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah usaha-usaha Kementerian bagi mengatasi kebanjiran pelacur-pelacur asing. Apakah langkah-langkah berkesan untuk menghalang kemasukan mereka?

11. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Dalam Negeri menjelaskan mengenai apakah pelan induk Kementerian dalam usaha untuk menghapuskan pendatang asing tanpa izin yang semakin meningkat sekarang. Nyatakan anggaran kebanjiran PATI semenjak 5 tahun kebelakang ini.

12. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan rancangan pembangunan Kg Baru serta kampung tradisi yang lain didalam Wilayah Persekutuan. Kenapakah masa yang diambil terlalu lama untuk membangunkan Kg Baru dan kampung-kampung tradisi yang lain, sedangkan tempat-tempat yang lain terus membangun dengan pesatnya.

13. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Pengajian Tinggi menjelaskan status universiti-universiti di Malaysia dalam konteks dunia. Bagaimanakah usaha-usaha Kementerian untuk menaikkan kedudukan tersebut supaya berada dalam tahap 50 ke atas daripada jumlah semua universiti dalam dunia?

14. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan menyatakan bilangan buah rumah yang didirikan oleh Kementerian semenjak 3 tahun lepas untuk membantu rakyat yang tidak ada rumah. Apakah usaha Kementerian bagi memastikan semua rakyat yang berpendapatan rendah mampu memiliki rumah menjelang 2020?

15. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Pelancongan menyatakan apakah usaha-usaha terbaru Kementerian dalam usaha mempromosi atau “menjual” negara agar lebih ramai pelancong datang ke Malaysia. Apakah kriteria-kriteria utama yang menyebabkan pelancong bertambah ke Malaysia disamping beberapa kelemahan yang perlu diatasi segera.

16. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Pengangkutan menyatakan pelabuhan-pelabuhan perkapalan dan lapangan-lapangan terbang baru yang akan dibina menjelang 2015. Nyatakan pelabuhan dan lapangan terbang yang manakah didalam status naik taraf masa kini.

17. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan apakah rancangan terbaru Kementerian dalam usaha menambah keluaran dan eksport komoditi negara. Sejauh manakah persaingan dan halangan yang terpaksa Kementerian tempuhi dalam konteks antarabangsa?

18. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan sajauh mana perkembangan dan kekuatan Jemaah Islamiah (JI) di Malaysia dan ancamannya kepada keselamatan negara dan luar negara. Apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil bagi membendung penularan gerakan JI di kalangan para pensyarah dan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

19. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan apakah usaha-usaha Kementerian untuk membantu petani, nelayan dan penternak yang dikategorikan miskin tegar disemua kawasan Parlimen berdasar Program Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Sajauhmanakah usaha-usaha tersebut mencapai matlamatnya?

20. YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar minta Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan menyatakan usaha-usaha dan langkah-langkah Kementerian merangka Pelan Induk untuk melaksanakan program kesenian dan kebudayaan dalam wadah atau konsep 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan secara berkala dan berterusan.

USUL-USUL


USUL PERTAMA

Untuk Kementerian Sumber Manusia dan Pengajian Tinggi.

MELIHAT secara fakta dimana terdapat ramai graduan lepasan Universiti dan Kolej yang menganggur dan betapa sukarnya mendapat pekerjaan dan MENGINSAFI situasi demikian mendatangkan beban kepada graduan, keluarga, masyarakat dan negara serta MENYEDARI luasnya bidang pekerjaan.

MAKA saya mengesyorkan agar kerajaan merangka pelan induk yang lebih agresif serta komprehensif dalam mensifarkan pengangguran dikalangan mereka.

USUL KEDUA

Untuk Kementerian Kesihatan.

MENYEDARI kesesakan di hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan semakin serius dan teruk dan MENYAKSIKAN beban kepada pesakit samada masa menunggu dan mendapat rawatan terlalu lama.

MAKA saya menggesa kerajaan mengambil langkah lebih drastik bagi membina lebih banyak hospital dan klinik, melatih dan melahir lebih banyak doktor, jururawat dan kakitangan, memanggil pulang pakar-pakar perubatan negara yang berada diluar Malaysia supaya kembali berkhidmat dan mengambil pakar-pakar luar negara supaya berkhidmat di negara ini.


USUL KETIGA

Untuk Kementerian Kewangan.

MENYEDARI peruntukan yang diberikan kepada ahli-ahli Dewan Negara sangat kecil iaitu sebanyak RM200,000.00 untuk selama 3 tahun dan MENGINSAFI permintaan daripada orang ramai adalah terlalu banyak, meluas dan tinggi, serta mengetahui peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat juga telah ditambah sebanyak RM500.00 lagi.

MAKA saya mengesyurkan ditambah peruntukan kepada ahli-ahli Dewan Negara daripada RM200,000.00 untuk selama 3 tahun kepada RM600,000.00 untuk selama 3 tahun.


Sekian, terima kasih.

YB Senator Datuk Abdul Rahman Bakar.



eXTReMe Tracker