Belia diseru buat perkara berfaedah untuk masa depan



RHU MUDA - Pemimpin muda yang berketerampilan, dinamik dan matang amat penting dalam membentuk serta mempengaruhi jati diri belia negara yang kini terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.

Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, pemimpin muda seharusnya memiliki daya kepimpinan kuat, yang dapat meneruskan agenda perjuangan negara.

Menurutnya, pemimpin yang baik bukan sahaja dapat membentuk dan mempengaruhi belia lain ke arah kebaikan, sebaliknya mereka juga dapat memimpin belia lain untuk menjadi pelapis pemimpin pada masa akan datang.

“Pentingnya pemimpin muda ini adalah mereka membawa suara generasi mereka dan juga masa akan datang. Sebab itu kita melihat pemimpin muda ini memainkan peranan besar kepada negara.

“Sehubungan itu, belia perlu sentiasa menjaga diri dan menggunakan tenaga muda untuk melakukan perkara berfaedah serta memperkasakan diri kerana apabila belia perkasa, negara kita akan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Jati Diri Kepimpinan Belia Parlimen Marang yang diadakan di Angullia Beach Resort.

Program berkenaan adalah anjuran bersama Majlis Belia Daerah Marang dan Pejabat Pembangunan Parlimen Marang.

Program dua hari satu malam itu disertai 100 belia, mewakili 25 peserta bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Marang.

Sepanjang program itu, peserta didedahkan dengan ceramah kepimpinan jati diri, aktiviti berkumpulan, aktiviti luar, senaman dan pelbagai lagi yang dikendalikan fasilitator berpengalaman, diketuai Ahmad Zamzuri Mamat yang juga Setiausaha Kehormat Majlis Belia Daerah Marang.

Petikan oleh Sinar Harian:
http://www.sinarharian.com.my/terengganu/content/story7386970.asp


eXTReMe Tracker