KUALA TERENGGANU – Persepsi serong segelintir pihak terhadap Umno dan BN berlaku berikutan maklumat yang dimanipulasi pembangkang tidak ditangani dengan bijak dan dijelaskan dengan baik di semua peringkat.
Ketua Penerangan Umno Terengganu, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, kebanyakan tohmahan yang dibangkitkan Pas, PKR dan DAP mengenai Umno dan BN boleh mengikis keyakinan rakyat terhadap parti kerajaan secara beransur-ansur sekiranya tidak diselesaikan secara berhemah.
Sehubungan itu katanya, peranan biro penerangan amat besar dalam memastikan cabaran sedemikian diatasi bagi menepis dakyah pembangkang yang boleh meracuni fikiran pengundi.
“BN akan tergugat oleh tindakan parti lawan dan kita lihat banyak isu yang dibangkitkan sama ada dalam BN tidak ditangani dengan baik. Kalau tidak dijelaskan, rakyat boleh kata ia benar walaupun ia mungkin bertentangan dengan fakta, fitnah dan sebagainya.
“Oleh itu, kita akan pastikan biro penerangan itu cergas dan aktif,” katanya.
Dari sudut isu yang timbul beliau berkata, pihaknya akan duduk berbincang dan mengkaji apa yang perlu dibuat dalam memastikan mekanisme tepat disalurkan kepada rakyat.
Menurutnya, sama ada ia dalam bentuk penerbitan, media, teknologi maklumat dan kemasyarakatan, perkara itu akan dibuat secara dinamik, pragmatik dan sesuai dengan keadaan semasa.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, banyak perkara baik dilaksanakan Umno dan BN melalui kerajaan negeri dan persekutuan yang perlu dijelaskan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Katanya, perkara sedemikian perlu ditonjolkan untuk memastikan rakyat mampu membezakan fakta dan auta, di samping tidak tertipu dengan maklumat tidak benar melalui pelbagai medium termasuk blog.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/politik/persepsi-serong-terhadap-umno-bn-perlu-dihakis-1.230486