KUALA LUMPUR 7 Okt. - Laporan Ketua Audit Negara
2012 yang memperlihatkan 'kepincangan' pengurusan kewangan serta
pemilikan aset beberapa kementerian dan agensi kerajaan mendapat
perhatian kalangan Ahli Dewan Negara yang mahu perkara itu tidak
berulang pada masa depan
Mereka menuntut kementerian terlibat menyelesaikan kepincangan itu
sebaik mungkin supaya maruah kerajaan tidak tercalar dengan laporan
sedemikian.
Membawakan isu tersebut ketika membahaskan Rang Undang-Undang
Perbekalan Tambahan (2013) 2013, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar
berkata, dalam usaha membanteras rasuah, mereka yang berada dalam
'keluarga' kerajaan perlu bersikap telus dan perlu mencerminkan
tindak-tanduk yang baik kepada rakyat.
''Merujuk Laporan Ketua Audit Negara 2012, kadang-kadang kita malu,
adakah (sebahagian) kementerian tiada integriti? (Hasil) Audit perlu
ditangani dan diselesaikan dengan baik, jika tidak maruah kerajaan akan
tercalar. Demi negara, demi bangsa, maruah dan imej, kena buatlah
(tangani)," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, beliau memberi respons celahan Senator Datuk Abdul Rahim
Abdul Rahman yang mengetengahkan isu sebuah agensi kerajaan yang
membelanjakan RM3,810 untuk sebuah jam dinding yang hanya berharga
RM100.
Untuk itu, Abdul Rahman mahu pihak terlibat supaya bertanggungjawab
dan tidak 'bermain' dengan soal harga untuk mengaut keuntungan sendiri.
Dalam pada itu, Senator Datuk Dr. Johari Mat menegaskan laporan itu perlu diteliti dan diterima secara positif.
''Kita sebagai sebuah keluarga, ada yang menegur, ada yang salah, ada
yang silap untuk kita saling melengkapi antara satu sama lain. Tetapi,
wang yang diberikan kerajaan kepada kementerian-kementerian, itu adalah
tanggungjawab dan amanah.
''Ingatlah, gejala itu akan dipersoalkan sama ada di dunia atau di
akhirat nanti. Mana-mana teguran perlu dilaksanakan dengan baik dan
diambil tindakan agar wang negara terjamin. Jika diberikan perhatian,
saya fikir peruntukan tambahan (perbekalan tambahan) ini dapat
dikurangkan," katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengemukakan
usul Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) 2013 yang
memperuntukkan wang tambahan sebanyak RM14.126 bilion kepada beberapa
kementerian dan jabatan sebagai anggaran perbelanjaan mengurus tambahan
pertama bagi 2013.
Antaranya yang memperoleh peruntukan tambahan tersebut ialah
Parlimen, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian
Kerja Raya, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20131008/pa_01/Jangan-ulangi-kepincangan-urus-kewangan-aset