BUKIT PAYONG – Miskin bukan ala-san untuk berjaya. Itulah yang dibuktikan Norakma Ngah, 18, apabila membuktikan kekurangan itu bukan halangan untuknya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor, Kedai Buluh di Bukit Payong ini juga menjadikan kemiskinan keluarganya sebagai pembakar semangat untuk berjaya dan mencapai cita-cita menjadi doktor.

Niat suci anak ketiga daripada enam beradik ini hanya ingin menghadiahkan kejayaan tersebut kepada bapanya, Ngah Othman, 55, yang hanya bekerja sebagai penjaja ikan menggunakan motosikal dan ibunya, Rakiah Sulaiman, 45, surirumah.

“Kemiskinan keluarga bukanlah penghalang menempa kejayaan, asalkan kita gigih dan sentiasa bekerja keras setiap masa serta patuh kepada nasihat kedua ibu bapa sudah pasti kejayaan akan menjadi milik kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Norakma berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Dir selepas menerima penghargaan daripada Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar.

Norakma yang mendapat A bagi semua mata pelajaran berkata, tanpa sokongan keluarga, dia pasti tidak berjaya kerana setiap hari bapanya bekerja keras walaupun kadang kala pulang dengan tangan kosong.

“Disebabkan kami miskin, saya sentiasa berjimat cermat dan menabung duit perbelanjaan yang diberikan bapa untuk membeli keperluan tambahan seperti buku rujukan tambahan dan keperluan lain agar tidak ketinggalan,” katanya.

Petikan oleh Sinar Harian:
http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8923392.asp


eXTReMe Tracker