Siti Zulaika (kanan) dan Mohd Sharil masih menjalani kehidupan seperti kanak-kanak sebaya mereka.
Abdul Rahman (dua, kiri) mendengar cerita disampaikan Siti Maimunah (terlantar) mengenai penyakit ditanggung.
MARANG - Seorang pesakit talasemia dari Kampung Alor Limbat di sini,
reda dengan suratan takdir yang tertulis buatnya, namun sebagai insan
biasa, ada kala Siti Maimunah Abdul Halim, 44, bersedih mengenang
kehidupan dua anaknya.
Hatinya gusar setiap kali melihat dua anaknya, Siti Zulaika Sahar, 12,
dan Mohd Sharil Sahar, 9, yang bergantung kepada bekalan darah dan ubat
apabila turut disahkan menghidap talasemia.
“Saya sedar, mungkin ramai bernasib malang, malah lebih teruk daripada
kami, tetapi sebagai ibu adakala saya sedih setiap kali melihat wajah
kedua-dua anak saya ini,” katanya.
Siti Maimunah berkata demikian selepas menerima kunjungan Pegawai
Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar sempena
program masuk kampung anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Marang
di sini, semalam.
Dikesan lepas seminggu lahir
Bercerita mengenai penyakit dua anaknya itu, Siti Maimunah berkata,
penyakit itu dikesan seminggu selepas Siti Zulaika dan Mohd Sharil
dilahirkan.
"Pada usia itu, keadaan fizikal kedua-duanya tidak seperti kanak-kanak
normal lain. Wajah mereka sentiasa pucat, manakala badan lemah dan tidak
aktif.
“Selepas mereka dilahirkan masing-masing menjalani beberapa rawatan
sebelum doktor mengesahkan mereka menghidap talasemia major. Pada
awalnya saya sukar menerima kenyataan itu, namun, akhirnya saya reda,”
katanya.
Mengulas lanjut, wanita kelahiran Alor Limbat itu berkata, memandangkan
kurang kemudahan di klinik berdekatan, pembantu perubatan meminta
mereka tiga beranak merujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),
Kuala Terengganu untuk rawatan.
Walaupun makin memahami sebab seseorang mengalami penyakit itu, dia
masih sukar menerima hakikat dua anaknya harus menerima takdir itu.
“Sejak lahir mereka terpaksa keluar masuk hospital bagi menjalani rawatan pemindahan darah sekurang-kurangnya sekali sebulan.
"Selain rawatan pemindahan darah, mereka juga perlu mengambil ubat mengandungi asid folik,” katanya.
Percaya pada rawatan
Dengan bantuan ahli keluarga lain, tiga beranak itu perlu berulang alik ke hospital sebulan sekali.
Malah, tahap kesihatan Siti Maimunah kini semakin merosot yang memaksanya lebih banyak berehat di rumah.
Akui ibu dua anak itu, pengetahuan cetek menyebabkan mereka menderita
dan mungkin bertahan dalam tempoh hayat singkat berbanding yang
diberitahu pakar perubatan.
“Bagaimanapun saya percaya, jika mendapat rawatan baik dan sempurna,
penderitaan dua anak saya dapat dikurangkan dan mereka mampu bertahan
lebih lama,” katanya yang kini terlantar kesan daripada penyakit
berkenaan.
Talasemia merupakan penyakit keturunan membabitkan gangguan sel darah
merah di dalam badan yang biasa dihidapi di negara ini, malah bagi
kawasan Asia Tenggara tanpa mengira bangsa.
Penyakit tersebut hanya dikesan selepas seorang bayi berusia antara
tiga hingga enam bulan, walaupun pada asalnya dilahirkan normal. Antara
tanda-tanda talasemia adalah pucat, tidur tidak nyenyak, kurang selera
makan serta mengalami muntah-muntah.
Janji bantu tiga beranak
Sementara itu, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar turut berjanji membantu
keluarga itu agar kedua-dua anak Siti Maimunah mendapat rawatan lebih
baik.
Malah, beliau akan memastikan keperluan tiga beranak itu diberi
perhatian segera. Difahamkan setakat ini tiga beranak itu hanya menerima
bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
Mereka sebelum ini menetap di Johor Bharu, namun pulang semula ke kampung berkenaan November tahun lalu.
Petikah oleh: http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tiga-beranak-derita-talasemia-1.140052