PADANG LIMAU NIPIS - Setelah lapan tahun berjuang bagi mendapatkan kemudahan asas di Taman Desa Salam, Kampung Padang Limau Nipis, akhirnya penduduk di taman perumahan itu mendapat khabar gembira.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang prihatin akan masalah penduduk di taman perumahan itu turun padang malam kelmarin dan meluluskan beberapa projek kemudahan asas untuk keselesaan penduduk.

Pada majlis dialog bersama penduduk Taman Desa Salam itu, Ahmad meluluskan beberapa projek merangkumi menaik taraf jalan, pembinaan papan tanda, kawasan tapak tong sampah, pondok menunggu bas yang bernilai RM30,000 dan pembinaan surau.

“Kita juga memasang 48 unit lampu jalan di perumahan ini memandangkan perumahan ini tidak mempunyai lampu jalan. Bagi pembinaan surau, saya akan arahkan pegawai saya mencari pelan yang bersesuaian dan membina surau pada tahun ini juga.

“Kita juga akan memasukkan pembinaan dewan serba guna sebagai projek keutamaan pada tahun depan manakala projek lain kita akan nilai kemudian,” katanya.

Majlis tersebut yang dibuat di pekarangan Taman Desa Salam itu turut dihadiri Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar; Pegawai Daerah Marang, A Rahman Che Ali dan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Ibrahim Mohamad.

Hadir sama ialah Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda; Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Saiful Bahri Baharudin.

Dalam perkembangan lain, Ahmad mempersoalkan bagaimana perumahan yang dibina pada 1999 itu diluluskan oleh kerajaan Pas ketika itu kerana banyak kepincangan yang berlaku sehinggakan sijil layak menduduki (CF) masih belum diperoleh.

“Sepatutnya kemudahan asas di perumahan ini disediakan oleh pemaju, termasuklah surau dan kemudahan asas lain tetapi kegagalan pemaju menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa menanggung beban itu.

“Saya mengharapkan selepas kemudahan asas dibina penduduk menunaikan tanggungjawab membayar cukai pintu bagi membolehkan kita menyediakan kemudahan asas yang lebih baik dari masa ke masa,” katanya.

Petikan oleh Sinar Harian:
http://www.sinarharian.com.my/terengganu/content/story7728965.asp

eXTReMe Tracker